Sunday 10 April 2016

Jalinan Masyarakat: Pratonton #3

Kredit foto: Pautan

9 Mac 2016 (Rabu)

Perjumpaan para warga SMPIS/TM Gen-12 bagi perbincangan JM diadakan lagi untuk kali yang ketiga. Masa dan tempat perjumpaan adalah seperti perjumpaan kali pertama (rujuk sini) - 5.15 petang di anjung surau APIUM. Sememangnya masa dan tempat yang ditetapkan ini sering menjadi kegemaran khususnya bagi para penuntut APIUM untuk bermesyuarat dan memerah otak. Mudah, pantas, dan selesa katanya.

Pada malam sebelumnya, setiap seorang daripada kami telah ditetapkan divisi masing-masing untuk menjalankan tugasan dengan lebih cekap dan efisien. Butiran secara ringkas adalah seperti berikut:

Divisi Dana dan Tajaan
- Nawawi (Ketua)
- Raihan
- Farhin
- Najihah

Divisi Pengisian dan Aktiviti
- Azmina (Ketua)
- Ain Munirah
- Aqilah Redzuan
- Firdaus

Divisi Pengangkutan dan Perhubungan Luar
- Azfhadli (Ketua)
- Farhana Bajan
- Afiqah Anuar
- Dariyah

Divisi Makanan dan Kebajikan
- Wan Ali (Ketua)
- Syazwani
- Aqila Shabudin
- Hanani
- Hanisah

Divisi Multimedia dan Publisiti
- Ikhwan (Ketua)
- Sulaiman
- Muhaimin
- Athiyah
- Husna

Alhamdulillah, setiap divisi membentangkan pelan perancangan serta skop tugasan dengan begitu baik dan mantap sekali. Untuk perjumpaan kali ini, tiada gambar yang sempat dirakam (Pembetulan: bukan tidak sempat, tapi malas, keh keh). Jadi, kami daripada pihak Divisi Multimedia memohon beribu-ribu kemaafan atas kemalasan ini.

Nah, abang belanja gambar.

11-17 Mac 2016 (Jumaat-Khamis)

Ok, bahagian ini merupakan episod yang paling panjang, paling memilukan, serta paling menyakitkan, tetapi paling menarik dan paling kelakar (mungkin) untuk disaksikan oleh seluruh penduduk alam semesta jika dikenang kembali. *555*

Hari-hari di atas boleh dikatakan sebagai antara tujuh hari yang penuh dengan keserabutan, khususnya dalam kamus kehidupan warga SMPIS/TM Gen-12. Pelbagai cetusan idea, luahan emosi, serta letupan jiwa berlaku dalam tempoh tersebut. Mana tidaknya, bermacam-macam perubahan dan program berlaku dalam minggu yang penuh dengan kesibukan (atau acah-acah sibuk) itu. Tetapi bagi penulis, tiada apa-apa yang perlu diserabutkan kerana penulis sentiasa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah selaku Tuhan yang Maha Menentukan serta kepercayaan kepada para Majlis Tertinggi (MT) JM bagi membuat segala keputusan berkaitan JM ini. Malahan, penulis juga sentiasa menyanyikan lagu "All Izz Well" daripada filem 3 Idiots yang pernah pecah panggung suatu ketika dahulu bagi meredakan segala ketegangan. *halamak, poyonya budak ini*

Segala-galanya bermula pada 11 Mac 2016 yang lalu dengan cadangan seorang mahasiswi kami yang hendak mengubah pelan asal JM. Daripada program dua hari satu malam kem motivasi serta dua kali aktiviti bantuan gelandangan kepada lima kali aktiviti bantuan gelandangan sahaja secara berturut-turut dengan alasannya yang tersendiri. Penulis sudah semestinya tidak bersetuju dengan penukaran ini. "Bapak ah, bosan gila aktiviti JM buat 5x homeless je? Bila nak tambah pengalaman hidup? Bila nak cabar diri dengan buat benda baru lain?" getus penulis di dalam hati (Amboi, dia! Sembang bukan main).

Dalam kumpulan WhatsApp kami, penulis bersama-sama lapan orang sahabat yang lain menyatakan ketidaksetujuan kami terhadap penukaran konsep aktiviti JM tersebut. Antara hujah yang dikemukan oleh geng-tidak-setuju ini (setelah diparafrasakan) ialah:
  • Hujung minggu hendak berehat.
  • Rumah jauh dari kampus.
  • Hendak menambah atau merasai pengalaman baru.
  • Hendak mengendalikan program yang lebih gempak daripada bantuan gelandangan.
  • Lima kali bantuan gelandangan adalah memenatkan.
  • Pergerakan pada malam hari adalah sukar dan terhad. Kenderaan awam tidak beroperasi 24 jam. Penggunaan kereta sewa adalah lebih bahaya kerana melibatkan pemanduan di kawasan bandar raya.
  • Pentingnya mencari tajaan dan dana bagi menggerakkan program.

Kami mencadangkan program alternatif sebagai bantahan terhadap program lima kali bantuan gelandangan. Antara cadangan aturcara tersebut:
  • Lawatan ke rumah orang tua.
  • Lawatan ke rumah anak yatim.
  • Edaran makanan percuma kepada mahasiswa UM.
  • Gotong-royong.
  • Buat aktiviti / berkolaborasi dengan pihak masjid.
  • Edaran risalah / lembaran iklan mempromosikan SGPI kepada sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang.
  • Tetap dengan program motivasi.

Walau bagaimanapun, hakikatnya majoriti daripada kalangan kami, iaitu seramai 17 orang bersetuju untuk dijalankan program bantuan gelandangan secara berkala tersebut. Masalah utama yang dikemukakan sudah tentu sumber kewangan yang terhad selain beberapa faktor sampingan lain yang penulis sendiri tidak dapat mengagak mengapa kebanyakan daripada mereka bersetuju walaupun pada hemat penulis adalah sangat membosankan untuk menjalankan JM dengan aktivitinya sekadar bantuan gelandangan sahaja. Lima kali pula itu, aiyo. Namun begitu, wujud juga tiga orang dalam organisasi kami yang hanya sekadar 'duduk di atas pagar', tidak menyatakan persetujuan dan tidak pula membangkang. Jangan bilang mereka golongan Murji'ah pula. *eh*

Maka, berlakulah perselisihan faham dan perbuatan saling membalas penulisan antara kami dalam kumpulan WhatsApp yang sangat berbahagia itu. Seperti biasa, penulis tetap cool saja dengan 'gocoh-gocoh manja' yang melanda aplikasi permesejan itu. Begitulah lumrah alam, penulisan seseorang mudah saja untuk disalahtafsirkan oleh orang lain, bergantung pada cara, situasi, dan emosi orang yang membaca sesuatu penulisan itu. Jika gaya membacanya positif, positiflah natijahnya. Begitu juga sebaliknya. Namun, tidak kurang ada juga yang menjadi batu api, mengadakan mesyuarat selepas mesyuarat, dan lain-lain.

Kredit foto: Pautan

Akhirnya, pada awal pagi 16 Mac 2016, tepat jam 1.02 pagi, Pengarah JM kami mula mengeluarkan perutusan khas yang berbunyi seperti berikut:

"[UPDATE TERKINI JM]

1. Keputusan muktamad, kita akan adakan program berkala 5 kali.

2. Setelah dipertimbangkan pelbagai sebab dan faktor, 'homeless' ialah aktiviti muktamad, cuma belum ditetapkan beberapa kali. Disebabkan itu, minta korang undi 2 kali seorang untuk aktiviti lain. Mana-mana aktiviti yang majoriti akan dipilih. Fikir dulu baru undi.

3. Cadangan perincian aktiviti:
- gotong-royong masjid
- ziarah rumah anak yatim
- ziarah rumah orang tua
- beri makanan kepada pelajar UM

ATTENTION!!

Undian di atas adalah yang terakhir daripada korang. So, think wisely before pilih yang mana patut. Jangan menyesal. Boleh sangat MT sahaja yang tetapkan nak pergi mana, cuma kalau boleh nak rai pendapat semua orang sebab kita hidup dalam satu kumpulan. Keputusan biar sama-sama. Walaupun aktiviti yang dicadangkan ini mungkin tidak seberapa gempak di mata semua orang, cukuplah ia gempak di mata Allah. Mana yang mudah, kita mudahkan. Terima kasih sebab bagi kerjasama."

"Alhamdulillah, Masya-Allah, Masya-Allah...," entah kenapa penulis berzikir panjang selepas membaca nukilan tersebut. Rasa kepuasan dan rasa syukur jelas terasa, terutama sekali apabila program lima kali bantuan gelandangan dibatalkan (wakaka) serta suara rakyat bawahan didengari dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak atasan. Syukur kepada-Mu, ya Tuhan...

Diringkaskan cerita, setelah undian dilaksanakan, maka keputusannya jatuh kepada aktiviti bantuan gelandangan, gotong-royong masjid, dan ziarah rumah anak yatim. Ewah!

Lalu, perjumpaan JM buat kali keempat diadakan pada 17 Mac 2016, jam 5.00 petang bertempat di lokasi biasa (surau APIUM) dengan agenda seperti di bawah:
  • Pemuktamadan (finalise) aktiviti.
  • Pemuktamadan tugasan setiap divisi.
  • Pemuktamadan belanjawan setiap divisi.
  • Penyelesaian apa-apa yang patut.
  • Hal-hal yang berbangkit.


Perjumpaan mengejut ini terpaksa diadakan berikutan kami perlu segera menyiapkan Kertas Kerja Projek (KKP) Asis On Charity 2016 untuk dihantar kepada Dr Madiha pada keesokan harinya (18 Mac 2016). KKP tersebut memerlukan pengesahan dan kelulusan segera agar carian dana dan tajaan dapat bergerak sesegera mungkin. Dukacitanya, penulis tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa mengendalikan persiapan untuk Pertandingan Nasyid IPT anjuran Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) UM di Auditorium Kompleks Perdanasiswa (KPS) pada malam itu. Walau bagaimanapun, pihak divisi multimedia berjaya mengadakan perbincangan dengan baik tanpa kehadiran penulis di sisi. *kah*

18 Mac 2016 (Jumaat)

Fuh, panjang sudah rasanya makalah kali ini. Jadi, pada hari ini, kami pun mengadakan perjumpaan bersama penyelaras JM sekali lagi, iaitu Dr Madiha bertempat di BS12 pada jam 11.00 pagi. Dengan berakhirnya perjumpaan ini, maka berakhirlah kemelut aktiviti JM kami pada kali ini. Kita sudahi penulisan dan pembacaan pratonton JM kita dengan bacaan Kaffarah al-Majlis dan Surah al-`Asr :)

--- Tamat Pratonton JM ---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Divisi Multimedia dan Publisiti,
ASIS On Charity 2016.

No comments:

Post a Comment